KLANG – Keluarga kepada kanak-kanak perempuan yang cedera diserang anjing sebelum ini, digesa agar membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya belum lagi menerima laporan daripada mangsa selepas insiden tersebut tular di media sosial sejak Ahad lalu.
“Setakat ini, laporan diterima adalah dari seorang lelaki berusia 50an yang menafikan dia adalah pemilik anjing tersebut.
“Berdasarkan siasatan juga mendapati haiwan yang menyerang itu adalah anjing liar (bukan bertuan). Jadi, kita harap keluarga atau mangsa tampil buat laporan berkaitannya di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.
Jelas beliau, tindakan tambahan juga telah dilakukan menerusi Majlis Bandaraya Diraja Klang bagi menangkap anjing liar di sekitar lokasi kejadian.
Sementara itu, Ibu mangsa, Norhashiqin Rosli, 29, ketika dihubungi Kosmo! berkata, pihaknya mengambil maklum dengan akan membuat laporan polis pada petang ini di sekitar Pelabuhan Klang.
“Anak saya pun telah berada di rumah selepas dibenarkan pulang dari HTAR semalam. Cuma, keadaannya masih dalam keadaan trauma,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan seorang kanak-kanak perempuan menempuh detik hitam apabila cedera diserang dan diheret dua ekor anjing ketika membuang sampah di kawasan flat Taman Suria Pendamar di sini, Ahad lalu.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu mengakibatkan mangsa, Nur Acha Dawina Muhd. Nur, 11, cedera di bahagian kepala, telinga kanan, muka, lengan kiri dan kesan cakaran di belakang badan.
Kanak-kanak itu bagaimanapun dilaporkan stabil dengan menerima 15 jahitan selepas menjalani pembedahan selama enam jam di HTAR. -KOSMO! ONLINE.