KUALA LUMPUR – Hanya dengan bermodalkan RM4,000 pelabur mampu mendapatkan keuntungan sehingga RM85,500 bagi tempoh 48 jam.
Keuntungan lebih 20 kali ganda itu antara ‘janji manis’ sindiket dikenali Pelaburan Amundi yang giat memprosikan skim penipuan pelaburan di media sosial, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 16 individu warga tempatan terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita tempatan ditahan dalam serbuan di Johor dan Sarawak, pada 6 dan 7 Mac lalu.
“Kesemua mereka berperanan sebagai pekerja syarikat dan pemilik keldai akaun yang digunakan untuk menipu mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Jelas beliau, sebanyak 15 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian berjumlah RM166,331 terhadap skim penipuan tersebut.
“Pakej pertama adalah ‘basic’ pada harga RM600 yang akan membawa keuntungan RM8,500 dan pakej premium pada harga RM900 yang akan membawa keuntungan RM15,500.
“Pakej diteruskan dengan crown pada harga RM1,800 membawa keuntungan RM35,500 seterusnya, pakej superconquer pada harga RM4,000 dan keuntungan RM85,500,” katanya.
Jelas Ramli, pihaknya turut merampas 20 telefon bimbit, satu komputer riba, tiga keping kad ATM dan satu beg silang.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain yang terbabit dalam skim berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”katanya.-KOSMO! ONLINE.