fbpx

Kematian kanak-kanak bawah 5 tahun semakin berkurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK menerima rawatan di sebuah hospital di Dhaka, Bangladesh pada 17 Januari lalu. - AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Bilangan kanak-kanak di seluruh dunia yang meninggal dunia sebelum berumur lima tahun mencatatkan rekod rendah pada 2022, demikian menurut satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan kelmarin.

Menurut laporan tersebut, dianggarkan seramai 4.9 juta kanak-kanak meninggal dunia sebelum sambutan hari lahir mereka yang kelima sepanjang 2022, turun 51 peratus sejak 2000 dan 62 peratus sejak 1990. 

“Rekod ini didorong oleh kebolehan bidan-bidan dan kakitangan kesihatan mahir yang berjaya membantu para ibu melahirkan anak dengan selamat.

“Faktor lain termasuk vaksinasi kanak-kanak bagi mencegah penyakit dan lawatan-lawatan yang kita lakukan ke rumah-rumah penduduk untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan,” kata Pengarah Eksekutif Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa PBB (UNICEF), Catherine Russell.

Meskipun kali pertama angka dicatatkan kurang daripada lima juta orang, PBB memberi amaran bahawa kemajuan yang dicapai itu masih belum signifikan.

Menurut laporan yang disediakan oleh UNICEF bersama-sama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia itu, kemajuan amat ketara dapat dilihat di negara-negara membangun seperti Malawi, Rwanda dan Mongolia.

Kematian kanak-kanak pada usia awal di negara-negara tersebut menurun sebanyak lebih 75 peratus sejak 2000, kata laporan sama.

Secara keseluruhan, 162 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun meninggal dunia sejak 2000, dengan 72 juta daripadanya terkorban pada bulan pertama hidup. Komplikasi berkaitan kelahiran adalah antara punca utama kematian awal kanak-kanak.

Antara umur satu bulan hingga lima tahun, jangkitan pernafasan, malaria dan cirit-birit menjadi pembunuh utama kanak-kanak, di mana penyakit-penyakit itu boleh dicegah, kata laporan sama.

Ia turut mendedahkan ketidaksamaan yang ketara di seluruh dunia, di mana rantau sub-Sahara Afrika menyumbang separuh daripada semua kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun pada 2022. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI