Berkahwin dengan putera impian, namun si gadis jelita dijadikan korban perjanjian ‘kuno’ demi kepentingan takhta. Itulah yang berlaku kepada gadis cantik, Elodie dalam filem Netflix terbaharu berjudul Damsel.
Berdurasi sekitar 110 minit, dengan beraninya penulis menyifatkan filem berkenaan sebagai sebuah karya yang indah khabar berbanding rupa. ‘Trailer’ promosi memang gempak, namun apa yang dipaparkan keseluruhan cerita jauh meleset daripada harapan sebenar.
Sungguhpun begitu, filem garapan sutradara bernama Juan Carlos Fresnadillo itu menguatkan jenama Millie Bobby Brown yang melakonkan peranan utama sebagai Elodie.
Kehebatan lakonan Millie
Secara peribadi, lakonan Millie ‘menyelamatkan’ Damsel daripada terus tenggelam dijilat api negara purba.
Penghayatan seorang puteri yang digadaikan bapa kandung sendiri demi menyelamatkan nyawa rakyat jelata, Millie berjaya melunaskan tanggungjawab karakternya dengan cukup rencah.
Jeritan batin seorang gadis yang terperangkap seorang diri dalam gua mustahil untuk terselamat ‘ditemani’ seekor naga yang berdendam dengan manusia, Millie menterjemahkan karakter dipertanggungjawabkan dengan baik.
Anak sulung daripada dua adik-beradik yang sentiasa mengutamakan kepentingan keluarga berbanding diri sendiri, Millie memaparkan nilai tersebut dengan secukupnya dalam Damsel.
Itu semua pujian menggunung buat Millie yang tidak culas memainkan peranan sebagai Elodie dalam Damsel.
Longgar
Dari segi penceritaan, tidak banyak yang boleh dipuji tentang Damsel. Plot mendatar dan mudah dijangka, itu antara kelemahan filem yang turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Angela Bassett dan Robin Wright tersebut.
Selepas menghabiskan tontonan, penulis sebenarnya kurang pasti apa yang ingin diceritakan atau moral yang ingin disampaikan kepada pembaca berhubung kelebihan dan kehebatan Damsel. Rasa seperti berhenti di sebuah kedai baju dan tiada sehelai pun yang menarik untuk dibeli atau dibawa pulang.
Itu gambaran yang barangkali sesuai mendefinisikan kesan ditinggalkan Damsel kepada penulis.
Dalam pada itu, aspek teknikal seperti teknik janaan komputer atau CGI, Damsel juga kelihatan sedikit lompong berbanding filem-filem bernuansa atau bertemakan sama sebelum ini.
Naga yang berdendam dengan umat manusia dalam filem berkenaan juga sangat forgettable atau senang dilupakan. Tidak banyak keistimewaan atau ciri khas yang membuatkan terjemahan haiwan mitos itu berbekas di hati audiens.
Adegan pertarungan antara Elodie dan naga berkenaan juga agak lemah. Senang cerita, babak klimaks melibatkan pertarungan kurang meyakinkan.
Secara keseluruhan Damsel masih sebuah naskhah yang menghiburkan dengan nilai feminisme yang agak ketara, namun sedikit ‘tangkap muat’ dari segi kualiti.