PETALING JAYA – “Saya nak tinggal di Gaza, tak mahu Israel ambil Palestin,” demikian luahan seorang wanita Amerika Syarikat yang berjaya diselamatkan daripada runtuhan akibat pengeboman tentera Israel.
Menerusi video dikongsikan seorang wartawan Palestin, Hani Aburezeq, wanita dikenali sebagai Deborah itu mengatakan, jika dia keluar dari Gaza, seolah-olah dia seorang yang ‘munafik’.
“Kalau saya keluar dari sini, saya seperti ‘munafik’. Saya percaya bahawa semua orang Islam perlu dilayan sama rata. Saya takkan pergi kerana Israel mahu ambil semua (bumi) Gaza dan Palestin, jadi mereka mahu semua orang pergi.
“Sebab itu saya mahu tinggal di sini, sebab saya taknak mereka ambil Palestin,” katanya pada video tersebut sewaktu perbualan dengan individu lain.
Deborah berkata, semua pihak seharusnya membantu penduduk Palestin yang setiap hari berdepan kekejaman Israel.
“Saya sangat yakin bahawa semua orang Islam perlu dilayan sama rata. Sebagai rakyat Amerika yang tinggal di Gaza, saya rasa semua orang Arab di dunia ini perlu berada di sini untuk membantu, bukan sahaja saya.
“Saya rasa seperti saya sahaja orang asing di Gaza ketika ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE