PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila dikenakan bayaran sebanyak RM3 bagi kuah gulai di sebuah bazar Ramadan.
Menurut perkongsian wanita itu, pada mulanya dia membeli lauk gulai daging di gerai berkenaan sebelum terlihat bekas gulai ikan yang hanya tinggal kuah sahaja.
Dia kemudian bertindak meminta sedikit kuah gulai tersebut memandangkan ikannya sudah habis.
“Semalam aku beli gulai daging kat bazar, lepas itu saja minta kuah gulai ikan sekali sebab ikannya dah habis. Dia caj kuah RM3. Kuah gulai RM3, kosong,” kata wanita itu.
Perkongsian wanita itu mendapat reaksi daripada orang ramai yang mempersoalkan sikap peniaga tersebut dan dikatakan tidak munasabah.
“Kita ini faham berniaga semua pakai modal. Tapi, kalau lauk memang dah habis, kuahnya tu bagi je la percuma. Kalau tak ada orang minta lepas tu tak habis, ke tanah jua. Kalau memang berat hati nak bagi percuma, bagitahu saja kuah satu senduk kami caj RM3,” kata Suri Rumah.
“Sekarang minta kuah memang kena caj Sebelum puasa pun ada kena. Minta sikit pun caj RM1,” kata Just.
“Semalam pun kawan saya kena, minta sambal lebih lepas tu kena caj. Sebelum ini okey saja minta lebih tak ada caj lebih apa-apa,” kongsi Fatin.
Sehingga kini, hantaran tersebut telah mendapat lebih 1,500 perkongsian. – KOSMO! ONLINE