KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melepasi halangan awal pada Kejohanan Badminton Seluruh England selepas menyingkirkan pilihan keenam dari Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham itu, Zii Jia menampilkan aksi cukup bertenaga bagi memastikan kemenangan straight set 21-12, 21-19 ke atas pemain No.6 dunia tersebut.
Kemenangan itu pastinya berjaya mengubat kekecewaan Zii Jia apabila dia sekadar menamatkan aksi Terbuka Perancis minggu lalu di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Denmark, Magnus Johannesen.
Meskipun turun dengan status pemain bukan pilihan, namun bekas juara Seluruh England itu berjaya menguasai sepenuhnya perlawanan tersebut sehingga menyebabkan Naraoka berdepan tekanan dalam kedua-dua set permainan.
Bagaimanapun, Zii Jia hampir mensia-siakan kelebihan lapan mata di hadapan pada set kedua apabila membenarkan Naraoka bangkit daripada ketinggalan 12-20 bagi merapatkan kedudukan 19-20 sebelum Zii Jia melengkapkan kemenangan 21-19.
“Hari ini saya lebih fokus terhadap taktik menyerang. Setiap kali bertemu Kodai (Naraoka), memang saya sentiasa jangkakan aksi sukar kerana dia seorang pemain yang sangat bagus, jadi gembira dengan prestasi hari ini,” katanya kepada BWF.
Untuk rekod, Zii Jia kini memiliki dua kemenangan ke atas pemain Jepun itu dalam lima pertemuan dengan dua aksi terakhir pada Terbuka China 2023 dan Terbuka India Januari lalu menjadi milik Naraoka.
Menanti Zii Jia di pusingan kedua esok adalah bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew yang berjaya menewaskan pemain Hong Kong, Ng Ka Long 21-12, 21-17 dalam tempoh 35 minit. – KOSMO! ONLINE