KLANG – Sejumlah 14.6 kilogram (kg) kurma disyaki dari Israel yang bernilai RM678 dirampas dalam satu pemeriksaan terhadap sebuah gudang di sekitar daerah ini, semalam.
Rampasan itu dilakukan kira-kira 11.30 pagi oleh Bahagian Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah Unit II (Selangor) susulan penularan sebuah video sebuah premis yang menjual bahan makanan itu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, hasil pemeriksaan guduang itu menemukan 73 pek buah kurma yang dilabelkan ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ yang disyaki produk dari Israel.
Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 40an dipercayai pemilik syarikat turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kurma tersebut dipercayai dibawa masuk daripada negara Eropah lain sejak tahun 2022. Syarikat tersebut dipercayai membungkus semula kurma berkenaan di negara ini sebelum dijual di kedai miliknya.
“Mana-mana syarikat yang ingin membawa barang barang atau produk daripada negara Israel perlu mendapat permit khas daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Sazali memaklumkan, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis barangan seludup yang bernilai lebih 6 juta termasuk cukai, baru-baru ini.
Katanya, rampasan bermula 22 hingga 29 Februari itu melibatkan lokasi seperti Lebuh Raya Karak, Seri Kembangan, Pelabuhan Utara dan Barat. – KOSMO! ONLINE