fbpx

Peniaga diburu polis dicekup simpan dua pistol, 1,200 biji pil kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan sepucuk pistol yang disembunyikan suspek di dalam laci meja kayu pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang peniaga yang sebelum ini diburu polis bagi kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah dicekup dalam serbuan di rumahnya di Jalan Long Yunus, Tanjong Chat, di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 11 malam itu, polis turut menjumpai dua pucuk pistol yang disembunyikan oleh suspek yang berusia 36 tahun di dalam laci meja, 54 butir peluru, 1,200 biji pil kuda dan 550 pil erimin 5.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota polis menjalankan pemeriksaan di dalam almari yang terletak di dapur sebelum menemui satu beg kain yang mengandungi pil kuda dan erimin 5.

Menurutnya, suspek kemudiannya menunjukkan sebuah laci meja di bahagian tengah rumah itu sebelum polis menjumpai dua pucuk pistol dengan salah satunya mempunyai tulisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengenal pasti penglibatan suspek dan penggunaan senjata api tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, lelaki itu merupakan salah seorang suspek yang diburu polis sebelum ini bagi kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Pemeriksaan mendapati, lelaki itu mempunyai dua rekod kes jenayah.

Dalam kes berasingan, Muhamad Zaki berkata, pihaknya menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand dipercayai pengedar heroin serta ganja di Kampung Kota dan tepi jambatan Pasir Mas-Salor semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI