BANDAR GAZA – Bulan Ramadan bermula di Gaza kelmarin tanpa gencatan senjata ketika pertempuran sengit antara tentera Israel dan pejuang Hamas berterusan, manakala penduduk Palestin dicengkam krisis kemanusiaan yang teruk.
Pada masa sama, sebuah kapal milik pertubuhan amal Sepanyol bersiap sedia untuk belayar dari Cyprus menuju ke Gaza di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran tentang kebuluran. Pertubuhan dinamakan Open Arms itu berkata, hanya sebahagian kecil bekalan keperluan asas dibenarkan masuk ke Gaza sejak Oktober tahun lalu berikutan sekatan ketat Rejim Zionis.
Kira-kira 370 kilometer dari Cyprus merentasi Laut Mediterranean, penduduk Palestin, Mohammed Harara berdiri di tepi pantai Gaza sambil mengharapkan bantuan tiba.
“Saya menunggu sejak pagi tadi kerana esok (kelmarin) adalah permulaan bulan Ramadan dan keadaan di sini amat tragis,” katanya.
Menurut Open Arms, kapalnya akan menunda tongkang yang membawa 200 tan bekalan makanan. Ia kemudian akan dipunggah oleh rakan kongsinya, badan amal World Central Kitchen di pantai Gaza.
“Ia (kapal) dijangka berlepas dalam tempoh beberapa jam akan datang,” kata jurucakap kerajaan Cyprus, Konstantinos Letymbiotis kepada Agensi Berita Cyprus.
Selain itu, pesawat tentera Jordan, Amerika Syarikat (AS), Perancis, Belgium dan Mesir turut menggugurkan bantuan di utara Gaza pada Ahad lalu.
Beberapa bungkusan makanan yang digugurkan dari udara pecah akibat impak, menyebabkan penduduk terpaksa mengutip di tengah-tengah kotoran untuk mengambil barangan yang masih boleh digunakan.
Di bandar sempadan Rafah di mana 1.5 juta orang mencari perlindungan, hidangan waktu berbuka yang biasanya banyak, digantikan dengan ‘makanan dalam tin dan kacang’, kata pelarian Palestin, Mohammad al-Masry selepas berpindah dari Khan Younis.
“Kami tidak menyediakan apa-apa. Apa yang pelarian ada?
“Kami tidak merasakan kegembiraan Ramadan. Orang ramai duduk di dalam khemah dalam keadaan sejuk,” katanya.
Perang di Gaza yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu telah membunuh seramai 31,045 rakyat Palestin dengan kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak, demikian menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza.
Rundingan sejak beberapa minggu lalu melibatkan pengantara Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir menetapkan matlamat gencatan senjata selama enam minggu dan pembebasan sebahagian besar tebusan Israel yang masih ditawan di Gaza.
Sebagai balasan, Rejim Zionis perlu membebaskan tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel dengan matlamat untuk menghentikan pertempuran pada permulaan bulan puasa.
Namun, kedua-dua belah pihak menyalahkan antara satu sama lain kerana gagal mencapai gencatan senjata selepas Israel meminta senarai penuh tebusannya yang masih ditahan di Gaza. Hamas pada masa yang sama mahu semua askar Israel berundur dari Gaza. – AFP