DOHA – Juara dunia enam kali, Marc Marquez mengakui tidak ralat apabila gagal meraih kedudukan podium sewaktu debut pertama bersama pasukan Gresini Racing pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Qatar, Ahad lepas.
Pada aksi di Litar Antarabangsa Lusail itu, Marquez hanya ketinggalan 1.5 saat di tempat keempat dengan kedudukan podium yang didominasi oleh Francesco Bagnaia (Ducati), Brad Binder (KTM) dan Jorge Martin (Pramac Racing).
Menurut Marquez, banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi untuk perlumbaan kompetitif pertama, apa yang diharungi di GP Qatar sudah cukup terbaik kerana dia bebas daripada sebarang kemalangan.
“Saya sangat gembira dengan perlumbaan yang diharungi meskipun gagal meraih kedudukan podium. Saya anggap agak mustahil untuk berada dalam kelompok tiga pelumba terbaik kerana mereka semua lebih pantas daripada kami.
“Apa yang penting, kami melepasi sasaran kerana seperti yang saya katakan sebelum ini, fokus pasukan adalah berada dalam situasi enam pelumba teratas. Secara realistiknya antara kedudukan No. 4, No. 5 atau No. 6,” katanya.
Sementara itu, Marquez turut memuji rakan sepasukan yang juga pelumba baharu, Pedro Acosta selepas mempamerkan prestasi menakjubkan pada aksi pertama perlumbaan MotoGP dalam kariernya.
“Kita boleh lihat kualiti pada Acosta yang berjaya meraih mata pada perlumbaan pertama MotoGP meskipun berada di kedudukan ke-9. Saya harap dia dapat belajar dengan cepat untuk tampil lebih agresif pada aksi seterusnya,” katanya. – AGENSI