SKUAD Harimau Malaya diseru menggunakan aksi pemanas badan menentang Nepal pada Jumaat ini sebagai medan untuk mendapatkan semula momentum dan bangkit daripada mimpi panjang.
Bekas pemain kebangsaan, Mohd. Safee Sali percaya barisan pemain perlu memastikan fokus utama adalah meraih kembali tahap kecergasan selain mengelak daripada mengalami kecederaan.
“Bagi saya ada pro dan kontra jika kita lakukan aksi persahabatan (sebelum perlawanan kompetitif) kerana pemain-pemain utama berisiko mengalami kecederaan dan boleh jejaskan persiapan pasukan.
“Namun, harus diakui aksi persahabatan cukup penting kerana sebagai bekas pemain, anda perlukan tahap kecergasan sepenuhnya untuk kekal kompetitif dan kita tidak perlukan saingan menentang negara besar pun.
“Jadi pemain perlu gunakan kesempatan yang ada sebaiknya untuk kembali berada pada tahap yang terbaik,” katanya.
Kali terakhir Harimau Malaya beraksi adalah ketika menentang Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan Piala Asia 2023 di Qatar dua bulan lalu.
Barisan pemain juga dilihat agak ‘lemau’ memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) masih lagi berehat dengan musim baharu akan bermula pada Mei depan.
Mengulas lanjut, Safee mengakui, situasi sama turut dialami negara-negara serantau yang lain selepas ‘pasca Piala Asia’ yang mana pemain-pemain dijangka tidak berada pada tahap stamina dikehendaki.
“Kerisauan besar adalah tiada aksi domestik yang kompetitif, tetapi saya percaya kebanyakan negara turut mengalami masalah sama. Oman juga baru habis Piala Asia dan mahu membina semula keyakinan mereka,” katanya.
Skuad kendalian Kim Pan-gon mendahului carta Kumpulan D selepas meraih kemenangan ke atas Kyrgyzstan serta Taiwan dan berpeluang mengukuhkan cengkaman jika melakar keputusan positif ke atas Oman.
Malaysia dijadualkan bertemu Oman pada 22 Mac di Muscat sebelum sekali lagi menentang pasukan ranking ke-80 dunia itu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac.