fbpx

Lauk, martabak di bazar Ramadan Sungai Petani naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFIFA (kiri) memasak martabak di gerai miliknya di Bazar Ramadan Wisma Ria di Sungai Petani, kelmarin.

SUNGAI PETANI – Rata-rata pengunjung bazar Ramadan di sini merungut apabila beberapa juadah berbuka puasa seperti lauk-pauk berasaskan ayam, ikan dan daging serta kuih seperti martabak mengalami kenaikan harga antara RM1.50 hingga RM2.

Menurut pengunjung, Munirah Sulaiman, 42, dia terkejut apabila mendapati seketul ikan tenggiri masak gulai yang dijual di Bazar Ramadan Wisma Ria, di sini dijual pada harga RM6.

“Tahun lepas di gerai sama, lauk ikan tu RM4 seketul. Tahun ini naik hingga RM2. Ayam masak merah pun dijual antara RM6 hingga RM7 seketul. Saya rasa baik masak lauk di rumah sahaja,” katanya yang merupakan suri rumah.

Pekerja swasta, Robilah Syarif, 39, berkata, ayam percik juga mengalami kenaikan harga dan dijual antara RM6 hingga RM7 seketul berbanding RM5, tahun lalu.

“Saya tak sempat masak sebab balik kerja lewat dan terpaksa beli untuk juadah berbuka bersama keluarga. Nak marahkan peniaga pun tidak adil kerana kos bahan mentah pun agak tinggi sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga lauk, Rohani Bakar, 45, berkata, dia tiada pilihan selain menaikkan harga jualan lauk-pauk yang dijual.

“Tahun lepas saya jual nasi dengan seketul ayam goreng atau ikan bawah RM5 saja, tahun ini antara RM6 hingga RM7. Nak buat macam harga semasa yang dijual sekarang pun tidak banyak untung yang diperoleh,” jelasnya.

Bagi peniaga martabak, Afifa Mohd Radzi, 27, berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan martabak ayam dan daging daripada RM3.50 kepada RM4, tahun ini.

“Harga tepung gandum naik mendadak cecah RM29 bagi 10 kilogram (kg), tak termasuk daging atau ayam kisar lagi. Faktor ini menyebabkan saya tak boleh lagi jual pada harga lama,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI