IPOH – Kes seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang didakwa dipukul penyelia di Kem Rasah, Seremban pada Jumaat lalu selesai selepas kedua-dua pihak menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, tindakan itu diambil berikutan kata sepakat yang dicapai kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara tersebut di peringkat pasukan.
“Sebenarnya, ada berlaku perselisihan faham (antara mangsa dan pelaku) dan apa yang dinyatakan dalam laporan polis sebelum ini sebenarnya tidak tepat.
“Bagaimananapun, kedua-dua pihak yang telah membuat laporan polis bersepakat menarik semula untuk kes diselesaikan di peringkat pasukan.
“Perkara ini telah diselesaikan di pihak bukan sahaja mangsa, malah ahli keluarga secara baik. Saya rasa perkara ini pun tular di media sosial yang mana mereka sama-sama pergi ke Balai Polis Seremban untuk menarik balik laporan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di Kem Syed Putra, di sini hari ini.
Masjid Baharu 2 Briged dibina atas tanah seluas 0.8 hektar membabitkan keluasan bangunan masjid 1003.6 meter persegi yang mana ia mampu menampung hampir 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Mengulas lanjut beliau menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang salah laku membabitkan pegawai dan anggotanya termasuk kes penderaan.
Beliau menambah, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan membuat semakan serta siasatan sebelum mengambil tindakan keras sekiranya terbukti dakwaan tersebut benar.
“Di pihak tentera, kita juga akan buat siasatan lanjut kenapa perkara ini berlaku. Kita mahu ia menjadi iktibar kepada anggota dan pasukan lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE