KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang mengangkat Kampong Bharu sebagai tapak warisan dunia UNESCO kerana akan menyebabkan sebarang cadangan pembangunan Kampong Bharu tidak dapat diteruskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, Kampong Bharu akan dipromosikan sebagai Bandar Melayu dalam Kuala Lumpur.
“Pengiktirafan warisan mempunyai tiga peringkat bermula daripada tapak warisan yang diberikan oleh Jabatan Warisan Negara, diikuti oleh warisan negara yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan kemudian barulah warisan dunia yang diberikan oleh UNESCO.
“Pengiktirafan warisan di ketiga-tiga peringkat ini mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan sesetengahnya tidak dapat dipadankan dengan ciri-ciri semasa Kampung Bharu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk menjadikan Kampung Baru di Kuala Lumpur digazetkan sebagai tapak warisan UNESCO.
Terdahulu, Zaliha berkata, Kampong Bharu yang berusia 125 tahun menjadi simbol kawasan masyarakat Melayu dalam bandar raya Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, kata beliau, setelah lebih satu abad, terdapat keperluan untuk mengharmonikan persekitaran Kampong Bharu dengan kepesatan pembangunan ibu kota.
“Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 (PIPKB 2040) sebagai hala tuju perancangan dan pembangunan semula Kampong Bharu untuk tempoh 20 tahun akan datang.
“Pelan Induk ini akan menjadi rangka utama dan panduan utama dalam pembangunan serta pembaharuan semula Kampong Bharu.
“Sehubungan itu, bagi memastikan pembangunan semula Kampong Bharu dapat diteruskan sebagaimana dirancang, kerajaan tidak bercadang mengangkat Kampong Bharu sebagai tapak warisan dunia UNESCO,” katanya. – KOSMO! ONLINE