KUALA TERENGGANU – Harga makanan dan minuman di kebanyakan bazar Ramadan di bandar raya ini menonjak sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu ekoran peningkatan kos operasi.
Tinjauan di Bazar Ramadan Batu Burok di sini mendapati, rata-rata peniaga memberi alasan terpaksa menaikkan harga jualan disebabkan kenaikan kos bahan mentah dan sewa tapak.
Seorang peniaga ayam golek yang mahu dikenali sebagai Adi, 37, memberitahu harga jualannya terpaksa dinaikkan RM30 seekor berbanding RM28 pada tahun lalu.
“Harga ayam mentah sekarang pun tak berapa stabil. Sewa tapak bazar Ramadan juga mahal tahun ini. Naik RM2 seekor ni bagi saya amat minimum,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Batu Burok di sini, kelmarin.
Sementara itu, seorang pengguna, Mohd. Hasrul Nizam Roslan, 34, mendakwa, tinjauannya pada hari pertama Ramadan kelmarin mendapati rata-rata minuman dan makanan termasuk kuih-muih naik harga antara 50 sen hingga RM1.50 berbanding sebelum ini.
“Kenaikan paling ketara ialah popia goreng yang dulu RM2 tiga biji, sekarang RM1 sebiji. Air pun ada yang dijual RM5 segelas berbanding RM3 sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Nur Ilyani Rosli, 42, berkata, kenaikan harga makanan dan minuman di bazar Ramadan terbabit menyebabkan dia terpaksa mengawal selera bagi berjimat-cermat.
“Saya memang sudah menjangkakan kenaikan harga di bazar Ramadan kali ini dan sebagai pengguna, kita perlu sesuaikan diri. Beli apa yang perlu sahaja dan elak rambang mata bagi mengelak pembaziran,” katanya. – KOSMO! ONLINE