KUALA LUMPUR – Penyanyi Ezlynn mengakui sudah genap setahun menjalani kehidupan berpoligami yang bahagia selepas suaminya, Wan Mohd. Hafizam menikahi seorang doktor Mac tahun lalu.
Pemilik nama lengkap Azline Ariffin, 42, berkata, isteri kedua berusia 26 tahun asal dari Perlis itu adalah pilihan hati suaminya sendiri selepas pencarian wanita yang ingin menjadi madunya tidak mendapat respons.
“Saya masih ingat ketika saya dalam misi mencari madu adalah sekitar tahun 2021 di mana kita masih melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selepas tiada calon, suami sendiri dipertemukan dengan seorang wanita muda, masih solo dan berkerjaya sebagai doktor di sebuah hospital di utara tanah air.
“Saya terus bagi lampu hijau sebaik sesi perkenalan kami kerana yakin calon madu saya kena dengan cita rasa suami selain mempunyai keperibadian baik.
“Alhamdulillah, kami menjalani kehidupan yang bahagia, malah saya bakal berpindah ke Changlun, Kedah supaya lebih dekat dengan madu,” katanya pada majlis pelancaran Bazar Ria Raya Bujang Lapok Street di KL Gateway Mall, baru-baru ini.
Menurut penyanyi lagu Hye Hye Bye Bye itu, awalnya giliran bermalam ditetapkan tiga hari, namun berikutan jarak lokasi tempat tinggal, suami bergilir selang seminggu.
“Seorang di Lembah Klang, seorang di utara jadi selepas berbincang, saya bakal berpindah ke Kedah agar memudahkan kami dari segi logistik.
“Sebenarnya seawal perkahwinan lagi saya memang utamakan kebahagiaan suami sehingga pernah merancang mencukupkan kuota poligami empat orang untuknya.
“Memang ramai wanita marahkan saya dalam hal poligami ini, tapi kalau bermadu ini boleh mengharmonikan rumah tangga, apa salahnya. Suami pun bukan milik saya sahaja, dia hak Allah,” ujarnya.
Ezlynn berkahwin dengan Wan Mohd. Hafizam yang juga penderma hati pertama negara pada 11 September 2021.
Nama pelakon Hantu Kak Limah itu hangat apabila membuka peluang kepada wanita lain untuk menjadi madunya sekali gus mencukupkan empat isteri buat lelaki terbabit yang juga sebagai saham akhirat buatnya.
“Sekarang saya adalah isteri pertama dan saya yakin suami saya mampu menggalas tanggungjawab sebaik mungkin serta adil, malah dia juga pandai menjaga hati kami berdua.
“Sekarang pun saya tak perlu risau lagi kalau keluar bekerja sebab tahu dia dijaga madu dengan baik, itu paling utama,” katanya.
Ezlynn sebelum ini pernah berkahwin dengan bekas pengurus peribadinya, Adam Fahmy pada 20 November 2011, namun mereka bercerai lima tahun kemudian.
Sementara itu, sepanjang bulan Ramadan penyanyi dan pelakon itu akan bersama beberapa artis termasuk, Adrea Abdullah, Nor Azifah, Emma Akma dan Salman JKKK akan terbabit dalam Bazar Ria Raya Bujang Lapok Street anjuran Persatuan Seniman.
Diadakan di pusat beli belah KL Gateway pada 22 Mac hingga 7 April depan, Ezlynn akan turun padang selain mempromosikan bazar berkonsepkan filem Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu dalam Instagramnya. – KOSMO! ONLINE