PETALING JAYA – Desas-desus berterbangan pelakon Mawar Rashid bakal bergelar isteri kepada lelaki kelahiran Brunei terjawab apabila dia mengesahkan yang berkahwin adalah ibu bukanlah dirinya.
Mawar, 30, atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid tidak menyangka ibunya bertemu jodoh sekali gus dirinya kini memiliki seorang bapa.
“Saya tak pernah sangka akan rasa kehadiran seorang ayah.
“Siapa sangka dari kenalan lama di Brunei bertemu jodoh hanya dari satu mesej ‘lama tak jumpa’ menerusi hantaran Putera Mateen kahwin,” katanya menerusi hantaran terbaharu Instagram.
Mawar juga berasa berat hati menelan realiti bahawa ibu tersayang akan tinggal di Brunei namun sentiasa mendoakan yang terbaik buat syurganya itu.
“Susah nak terima hakikat yang mummy akan tinggal di Brunei tetapi beliau layak mendapatkan kehidupan yang bahagia.
“Untuk keluarga baharu di Brunei, selamat datang dalam keluarga saya. Sayang kalian sampai bila-bila,” coretnya.
Difahamkan, ibu Mawar, Marinee Abdullah berkahwin dengan kenalan lama yang juga merupakan Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Abu Bakar.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu enggan mengulas mengenai khabar angin mendakwa dia bakal menamatkan zaman janda dengan jejaka pilihannya yang dikatakan berasal dari Brunei.
Mawar memberitahu dia memilih pendirian mengunci mulut ketika ini dan akan berkongsi berita gembira sekiranya sudah bersedia kelak.
Untuk rekod, Mawar sebelum ini pernah berkahwin dengan Raf Yaakob pada tahun 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.
Jodoh tidak panjang, mereka mengesahkan sudah bercerai pada 23 November lalu menerusi perkongsian di laman Instagram tanpa mendedahkan punca perpisahan. – KOSMO! ONLINE