fbpx

Bella tak tidur, sangat kurus – Puteri Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI Sarah risau melihat keadaan sahabatnya, Bella Astillah yang hilang selera makan dan tidak dapat tidur sehingga berat badan turun mendadak.

PETALING JAYA – Pelakon Puteri Sarah Liyana mendedahkan situasi rakannya, Bella Astillah yang mengalami perubahan fizikal ketara rentetan terkesan dengan kontroversi khalwat antara suaminya, Aliff Aziz dan Ruhainies, baru-baru ini.

Puteri Sarah, 39, memaklumkan rutin harian wanita asal Sabah itu berubah terutama hilang selera makan serta tidak dapat tidur yang mengakibatkan penurunan berat badan secara drastik.

“Dia masih tidak boleh terima apa yang terjadi. Dia tak boleh makan dan tidur. Dia kurus sangat,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok semalam.

Selain itu, pemilik nama lengkap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu memohon orang ramai mendoakan Bella supaya kuat menghadapi episod hitam selepas suaminya sekali lagi berlaku curang.

“Pada hari pertama Ramadan ini, jom sama-sama kita doakan Bella Astillah. Semoga dipermudahkan semua urusan.

“Doakan semoga semuanya baik-baik sahaja. Semoga dia kuat dan tabah,” ujarnya.

Sebelum ini, Puteri Sarah bersedia menjadi tempat mengadu Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah ketika rakan sealiran dunia seni itu dilanda masalah rumah tangga.

Bella sudah memfailkan permohonan perceraian terhadap suami, Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur kelmarin.

Sebutan kali pertama berlangsung hari ini namum kelibat Aliff tidak kelihatan kerana terikat dengan penggambaran.

Terdahulu, Aliff dan rakan gandingannya dalam drama Terjerat ditahan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di kediaman pelakon wanita itu pada awal pagi Sabtu lalu.

Pihak Jawi mengesahkan perkara itu, namun pasangan terbabit dilepaskan dengan jaminan selain menunggu kes dibicarakan di mahkamah syariah dalam masa terdekat.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.

Pasangan sensasi terbabit dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI