PETALING JAYA – Enggan membiarkan khalayak terus berspekulasi, pelakon Amelia Christie mengesahkan dirinya kini berstatus solo sekali gus menamatkan teka teki bahawa hubungan cinta dengan Sharnaaz Ahmad sememangnya sudah berakhir.
Ujar pelakon baharu berusia 24 tahun itu, dia tidak mempunyai masalah untuk menjawab pertanyaan netizen mengenai status hati memandangkan dirinya sudah sendiri.
“Saya single. Jangan risau sebab saya okey dengan soalan itu (status hati) sebab kita kena lah bagi tahu orang yang kita memang single,” katanya menerusi video temu bual dengan wakil satu jenama tudung.
Ditanya ciri-ciri yang dimahukan dalam diri pasangan hidup, pelakon drama Gamers Mangkuk itu memberitahu, dia mengidamkan lelaki baik budiman, bertanggungjawab dan sopan santun.
“Lelaki idaman saya adalah seorang yang bertanggungjawab, sopan santun dan baik hati,” ujarnya ringkas.
Semakan Kosmo! Online menerusi ruangan komen video tersebut mendapati rata-rata netizen menasihati Amelia supaya mencari lelaki yang benar-benar ikhlas dan paling penting telah ‘move on’ dengan kisah lalu.
“Cari lelaki yang sesuai dengan awak Amelia, awak cantik dan baik, cari yang bujang berlambak mahukan awak,” komen seorang netizen.
“Kalau boleh carilah bakal suami yang sudah melupakan masa lalunya dan tidak kekal berada di kisah lama, susah cari lelaki yang rapat dengan bekas isteri atas tiket anak tetapi sebenarnya masih menyimpan perasaan,” demikian komen pengguna media sosial itu.
Terdahulu, timbul dakwaan bahawa hubungan pelakon berkenaan dengan Sharnaaz putus di tengah jalan apabila mereka saling ‘unfollow’ akaun Instagram masing-masing.
Menerusi temu bual Kosmo! Online bersama Sharnaaz sebelum ini, aktor itu memilih untuk tidak memberikan sebarang komen, sebaliknya memberitahu hubungan mereka dalam keadaan baik selain ingin fokus terhadap karier dan anak lelaki tunggalnya.
Bagaimanapun, kenyataan pelakon filem Jebat itu mengundang rasa kurang senang netizen yang menyifatkan aktor itu seperti mempermainkan hati Amelia.
Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga bersama Noor Nabila Mohd Noor pada Mac 2017, namun disahkan bercerai sekitar Julai 2020.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Jebat Jayden yang kini berusia 6 tahun. – KOSMO! ONLINE.