PUTRAJAYA – Laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan mendedahkan wujudnya aktiviti penyelenggaraan yang tidak teratur terhadap pesawat BK160TR yang terhempas di Kapar, Selangor hingga meragut dua nyawa pada 13 Februari lalu.
Berdasarkan laporan awal yang dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan itu, aktiviti penyelenggaraan tidak teratur itu antaranya melibatkan pemasangan bahagian pesawat tidak diperakui.
Kata laporan awal itu, ia turut melibatkan pemasangan bahagian dan servis pesawat oleh organisasi penyelenggaraan yang tidak dibenarkan atau orang yang tidak layak menjalankan aktiviti terbabit.
“Antara penyelenggaraan tidak teratur sehingga laporan ini dikeluarkan ialah menanggalkan gear pendaratan hidung pesawat (NLG) dan aktiviti pemasangan baharu pada Februari 2024 yang mana dilaksanakan tanpa kebenaran atau dilaksanakan oleh petugas tidak layak.
“Pemasangan NLG baharu itu telah selesai sebelum kemalangan di mana penerbangan yang dibuat ialah bagi menguji alat yang baharu dipasang itu,” kata laporan itu.
Pada masa sama, laporan awal itu turut menjelaskan, pemasangan bahagian ‘tie-down ring’ yang tidak diperakui dibuat di bahagian bawah setiap sayap pesawat yang terletak berdekatan gear pendaratan utama.
“Bahagian itu telah dipasang dengan bahan komposit, seterusnya diikat pada sambungan pemasangan sayap dengan ‘spar utama’.
“Keterangan saksi juga menunjukkan bahawa pemasangan bahagian yang tidak diperakui itu telah disiapkan pada 23 November 2023,” katanya.
Mengulas lanjut, kata laporan awal itu, aktiviti penyelenggaraan rutin juga dilakukan petugas tidak berkelayakan dengan melibatkan aktiviti seperti servis elemen penapis udara serta kerja servis lain yang telah siap pada November 2023.
“Terdapat kemungkinan besar wujud kerja penyelenggaran yang tidak teratur berdasarkan catatan buku log yang disimpan oleh juruterbang.
“Laporan berhubung siasatan aktiviti penyelenggaraan itu akan dikemas kini kerana bukti lanjut sedang disiapkan,” jelasnya.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan menjelaskan bahawa Laporan Awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) melibatkan pesawat BK 160TR telah disiapkan pihaknya. – KOSMO! ONLINE