fbpx

2 maut, 22 hilang bot nelayan karam di Sulawesi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat memulakan misi mencari mangsa yang masih hilang. - Basarnas

JAKARTA – Pasukan penyelamat Indonesia melancarkan operasi mencari sekurang-kurangnya 22 nelayan yang hilang di tengah negara itu semalam, selepas bot dinaiki mereka terbalik pada hujung minggu lalu.

Menurut pegawai, dua orang disahkan maut dalam kejadian itu setakat ini.

Bot dengan sekurang-kurangnya 35 anak kapal itu terbalik Sabtu lalu di perairan terpencil Kepulauan Selayar, dalam wilayah Sulawesi Selatan.

Seramai 11 daripada mereka ditemui terdampar di dua terumbu karang selepas terapung di laut selama tiga hari.

Bot mereka dilaporkan terbalik dalam cuaca buruk semasa musim hujan di Indonesia, demikian menurut agensi mencari dan menyelamat tempatan negara tersebut.

“Mangsa telah terapung di laut selama tiga hari. Mereka dibawa arus ke perairan Selayar,” kata seorang pegawai tempatan, Andi Caco Ramas kepada agensi berita AFP semalam.

Dua lagi mangsa ditemui di pulau berasingan, tambahnya.

Bot nelayan itu berlepas dari pelabuhan Jakarta Utara pada 3 Mac lalu ke Pulau Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat.

Tentera laut dan anggota-anggota penyelamat sukarelawan kini sedang membantu dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang.

“Pasukan bersama akan menjalankan operasi mencari dan menyelamat, manakala mereka telah berlepas pagi ini,” kata seorang pegawai mencari dan menyelamat tempatan, Andi Raswan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI