fbpx

Wilkin enggan lepaskan peluang terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WILKIN (kanan) percaya mereka mampu meraih keputusan positif dalam dua aksi bertemu Oman bulan ini. – FAM

SKUAD Harimau Malaya tidak boleh melepaskan kesempatan untuk mengukuhkan cengkaman pendahulu saingan Kumpulan D kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menjelang dua aksi bertemu Oman bulan ini.

Pemain tengah negara, Stuart Wilkin yakin rakan sepasukan dapat mengekalkan momentum dengan meraih keputusan positif menentang Oman di Muscat pada 22 Mac sebelum bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil empat hari kemudian.

Menurut Wilkin, semua pemain kini berada pada tahap terbaik untuk memastikan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa dapat diteruskan dalam misi layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

“Harap kami dapat terus mencipta keputusan positif seperti dipamerkan dua perlawanan lepas. Kami kini berada di kedudukan terbaik dan sudah tentu ia menaikkan motivasi pasukan.

“Kami tidak boleh pandang rendah terhadap Oman kerana mereka adalah pilihan dan saya jangka kami bakal mengharungi perlawanan yang sukar terutama di tempat lawan,” katanya.

Sementara itu, Wilkin me­ngakui, barisan kejurulatihan diketuai Kim Pan-gon bekerja keras untuk memastikan pasukan kembali berada pada tahap intensiti tinggi memandangkan tiada aksi kompetitif di peringkat kelab ketika ini.

“Sejak hari pertama lagi kami sudah dikerah untuk menjalani latihan kompetitif tinggi dan sudah pasti semangat pemain cukup membara dalam usaha merebut kesebelasan utama,” ­katanya.

Sebagai rekod, skuad kebangsaan yang menduduki ranking No. 132 dunia mencipta kejutan dengan meraih mata maksimum selepas menewaskan Kyrgyzstan dan Taiwan dalam dua perlawanan awal Kumpulan D pada ­November lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI