KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan laporan Human Rights Watch (HRW) bahawa terdapat tahanan imigresen yang diseksa sehingga berlaku kematian di negara ini.
Menterinya, Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan menyatakan depoh tahanan itu sesak melebihi kapasiti juga tidak benar sama sekali.
Saifuddin berkata, kapasiti yang boleh ditampung 20 depoh tahanan imigresen adalah 20,650 orang dan sehingga 7 Mac lalu, seramai 13,635 orang ditahan di depoh berkenaan.
“Ini (jumlah tahanan) di bawah kapasiti, jadi dakwaan HRW itu tertolak dengan sendirinya. Biar angka berbicara. Adakah (tahanan) diseksa? Jawapannya tidak,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai dakwaan laporan baharu HRW mengkritik kerajaan menindas kumpulan pelarian di pusat tahanan yang sesak melebihi kapasiti, selain wujud kematian dalam kalangan golongan rentan dan kanak-kanak.
Saifuddin berkata, tahanan merangkumi mereka yang selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan di negara ini sementara menunggu kedutaan masing-masing menyediakan dokumen perjalanan sebelum diusir.
“Ia termasuk mereka yang ditangkap di bawah pelbagai kesalahan Akta Imigresen dan Akta Pasport seperti terlebih tinggal, salah guna pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan.
“Ada juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang terbabit dalam kesalahan seperti dadah, rogol dan bunuh, malah ada yang mencuri nadir bumi di Sik, Kedah,” ujarnya.
Saifuddin berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM123 juta bagi menguruskan 20 depoh tahanan imigresen seluruh negara tahun lalu, selain RM80 juta untuk makanan dan bayaran tiket feri dan kapal terbang apabila tahanan diusir.
“Begitu sekali kita jaga tapi HRW kata kita seksa sampai berlaku kematian. Akibat laporan ini, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) sudah memanggil KDN dan Jabatan Imigresen untuk menjawab persoalan ini.
“Saya difahamkan ketika diminta pembuktian di mana penyeksaan dan kematian yang disebut itu berlaku, satu bukti pun tak dapat dikemukakan tapi laporan sudah mereka keluarkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE