fbpx

Sekumpulan lelaki bom, renjat ikan di Gerik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video menunjukkan sekumpulan lelaki bermegah-megah dengan hasil tangkapan mereka dipercayai di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor di Gerik kelmarin.

GERIK – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa mengebom serta merenjat elektrik ikan kelah dipercayai di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor di sini membangkitkan kemarahan penduduk setempat dan orang ramai.

Menerusi perkongsian video yang tular sejak kelmarin, sekumpulan lelaki dilihat menunjukkan hasil tangkapan mereka dengan dipercayai mahu menunjuk-nunjuk jumlah ikan berjaya ditangkap.

Pengerusi Persatuan Anak Gerik, Tajuddin Mohd. Ali berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap isu tersebut kerana ia mengancam populasi ikan di sungai berkenaan.

“Kami orang kampung tidak ada masalah sekiranya mana-mana pihak mahu mengadakan aktiviti menangkap ikan di sana, tetapi biarlah berpandukan kepada undang-undang dan berdisiplin.

“Perbuatan mengebom atau menggunakan elektrik untuk menangkap ikan memang tak boleh diterima. Diharapkan pihak tidak bertanggungjawab itu dapat ditahan segera bagi tindakan undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Perikanan Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil serius aktiviti-aktiviti yang melanggar Akta Perikanan 1985 serta Kaedah dan Peraturan berkaitan demi memastikan kelestarian sumber perikanan supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dan pelanggaran Akta dan Peraturan sedia ada.

“Berhubung isu yang telah tular pada 10 Mac 2024, pihak jabatan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada warga negeri ini di atas perkongsian informasi bagi memudahkan pihak kami mengumpul maklumat untuk tindakan selanjutnya.

“Ini jelas menunjukan bahawa warga Negeri Perak amat cinta dan sayangkan kelestarian sumber alam semula jadi agar ia sentiasa terpelihara selamanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI