LUMUT – Seorang pekebun warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas tuduhan membunuh abang kandung dan kakak iparnya, di sebuah kebun kelapa sawit di Pantai Remis.
Chee Kooi Heng, 63, dituduh membunuh Chee Khoi Sia, 74, di sebuah ladang kelapa sawit nombor lot 3332 di Pengkalan Baharu, Pantai Remis, dekat sini, antara pukul 3 hingga 3.30 petang pada 5 Mac lalu.
Dia juga dituduh membunuh Koh Eng Lai, 70, di tempat, masa dan tarikh sama.
Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Dia bagaimanapun mengangguk tanda memahami tuduhan itu ketika kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Cina.
Majistret Nurul Izalina Rajaai menetapkan 29 Mei depan untuk sebutan semula kes itu bagi mendapatkan laporan perubatan dan laporan kimia kedua-dua mangsa.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hairol Jemain, manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam C. C. Keong.
Terdahulu, tertuduh dibawa menaiki kereta polis dan tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.50 pagi.
Sebelum ini, media melaporkan pasangan suami isteri warga emas ditemui mati dalam sebuah kebun kelapa sawit di Pantai Remis, dekat sini, dipercayai dibunuh oleh ahli keluarga terdekat, petang 5 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE