fbpx

KPDN Kedah sita 100,000 bungkusan kopi pracampuran tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPDN Kedah merampas 100,000 unit bungkusan kopi pracampuran di sebuah kilang dan stor penyimpanan di Kawasan Perusahaan Mergong 2, Alor Setar pada semalam.

ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita sebanyak 100,000 unit bungkusan kopi pracampuran kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar palsu di sebuah kilang di sini semalam.

Serbuan ke atas kilang pemprosesan produk minuman dan stor penyimpanan di Kawasan Perusahaan Mergong 2 itu dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Pengarah KPDN negeri, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua premis itu menemui sejumlah unit kopi pracampuran yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu.

“Pegawai serbuan KPDN negeri kemudian menyita 100,000 unit bungkusan kopi pracampuran dan satu gulung plastik pembungkusan menggunakan cap dagangan berkenaan untuk siasatan lanjut. Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM95,100,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan mana-mana orang bagi bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang dipakaikan secara salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

“Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya adalah denda sehingga RM20,000 bagi setiap barang atas kesalahan sama,” ujarnya.

Sementara itu, bagi pertubuhan atau perbadanan, denda sehingga RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM30,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI