SELEPAS 15 tahun bergelar isteri jutawan, aktres Shilpa Shetty membuka mulut mengenai tohmahan yang dilemparkan kepadanya ketika detik awal mengahwini Raj Kundra.
Tuduhan perosak rumah tangga, penyondol dan kaki kikis menjadi berita hangat memandangkan lelaki pilihan hatinya itu pernah berkahwin sebelum ini.
Menurut pelakon yang kini berusia 49 tahun, hakikatnya cinta terhadap suami tidak dapat dibandingkan dengan wang ringgit atau kekayaan dimiliki.
Malah menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, mereka melalui waktu sukar, terutama ketika suaminya itu dipenjarakan dua bulan berikutan kes laman web lucah.
Kata Shilpa, sehingga kini rumah tangganya tetap bertahan dengan segala dugaan yang pada akhirnya mengukuhkan ikatan antara mereka.
Kata Shilpa, dia berkenalan Raj ketika rumah tangga lelaki warga Britain itu sedang bergelora dan mereka berkahwin setelah Raj bercerai dengan isteri terdahulu.