PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz, memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya, Fara Roslan di Mahkamah Rendah Syariah Ampang selepas wanita itu tidak pulang ke kediaman mereka sejak November tahun lalu.
Ippo yang hadir bersama peguam syarienya, Fakhrul Azman Abu Hassan, berkata, isterinya keluar tanpa keizinannya.
“Hari ini selesai sebutan pertama iaitu saya memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isteri saya kerana dia keluar rumah dari rumah tanpa izin sejak November tahun lalu.
“Pelbagai usaha sudah dilakukan daripada pihak saya, jadi ini adalah satu langkah yang perlu saya lakukan sebagai suami,” katanya selepas prosiding pertama hari ini.
Bagaimanapun isterinya, Fara Roslan tidak hadir ke prosiding yang berlangsung pagi tadi.
Sementara itu, Fakhrul yang mewakili anak guamnya berkata, prosiding untuk permohonan tuntutan nusyuz itu ditetapkan mahkamah pada 23 April depan.
“Alasan pertama nusyuz difailkan adalah defendan (Fara) keluar dari rumah, manakala cerai difailkan oleh sebelah sana dan kami masih belum menerima saman berkenaan. Kami hanya dapat maklumat sahaja.
“Apabila kami mahu failkan hak penjagaan anak-anak baru-baru ini, kita dapat maklumat pihak sana sudah memfailkan cerai dan hadanah,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya selaku plaintif juga sudah menyerahkan saman terhadap defendan sebelum meminta mahkamah memberi notis amaran agar hadir ke prosiding seterusnya.
“Hari ini sebutan kali pertama, defendan tidak datang dan kami sudah serahkan saman pada defendan, tapi tidak hadir. Kami cuma terima surat dari peguam syarie pihak defendan memaklumkan peguam juga tak boleh hadir sebab peguam ada kes lain.
“Jadi kami minta mahkamah bagi notis amaran dan mahkamah sudah bagi notis dan mengarahkan mereka hadir pada tarikh yang ditetapkan iaitu 23 April,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ippo enggan mengulas lanjut mengenai masalah rumah tangganya dan menyerahkan semua pada kebijaksanaan mahkamah untuk menyelesaikan.
“Saya serahkan kepada pihak mahkamah untuk selesaikan sebab sekarang ini dia masih lagi isteri saya dan saya mahu menjaga hati serta aib keluarga kami berdua.
“Sebab apabila kita bercakap soal sebegini, secara automatik akan menyebarkan aib, jadi lebih baik kita serahkan pada mahkamah,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki. – KOSMO! ONLINE