KUALA LUMPUR – Selain sibuk menjalani penggambaran Ramadan ini, pelakon Iedil Dzuhrie kini rancak menguruskan kafe bersama isteri di Jakarta, Indonesia yang beroperasi beberapa bulan lalu.
Disebabkan itu, dia terpaksa kerap terbang ke Indonesia bagi memastikan perniagaan mereka berjalan sempurna di sana.
“Saya masih sibuk Ramadan kali ini dengan penggambaran siri Astro berjudul Kiblat Ke Syurga dan dalam masa sama berulang-alik dari Malaysia ke Jakarta, Indonesia.
“Ini kerana saya dan isteri baru sahaja mengusahakan sebuah kafe yang dinamakan Casatopia di Indonesia.
“Baru enam bulan dibuka dan saya agak stres kerana kami belum mempunyai pengurus kafe, jadi saya buat semua sendiri,” kongsinya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin, 40, juga menguruskan rumah produksi miliknya dan isteri, Prisia Nasution yang dijangka mengeluarkan beberapa naskhah filem tahun ini.
“Saya dan isteri juga baru memulakan rumah produksi sendiri juga di Jakarta iaitu Casa Dream Studio yang bakal melancarkan dua filem dan satu siri tahun ini.
“Ada juga projek antarabangsa dengan saya menggalas tanggungjawab sebagai penerbit merangkap pengarah, manakala isteri akan menjadi pengarah bersama,” ujarnya lagi.
Iedil mendirikan rumah tangga Prisia Wulandari Nasution yang juga bintang Indonesia pada 2016 dan memilih menetap di negara itu.
Penghijrahannya juga disebabkan dia mahu mengembangkan sayap lakonan ke negara jiran. – KOSMO! ONLINE