IPOH – Baki 30 warga Rohingya yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor pada bulan lalu, dikesan mendapatkan perlindungan dari komuniti mereka di beberapa daerah di negeri ini.
Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi persembunyian tahanan itu dan sedang menjalankan pemantauan.
“Biasanya, mereka (Rohingya) kalau lari pun akan cari komuniti mereka sendiri. Buat masa ini kita telah pun kenal pasti beberapa komuniti Rohingya yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Buat masa ini, intipan sedang dijalankan di lokasi berkenaan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Repatriasi Migran (PRM) di Bahagian Penguatkuasa JIM Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, (KDN), Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya tidak menerima maklumat berkaitan tahanan yang lolos itu melarikan diri keluar dari Perak.
“Buat masa ini, maklumat yang kita terima mereka masih berada di dalam negeri. Cuma, kalau pun berada di luar daerah, itu ada kemungkinan besar.
“Maknanya, kejadian berlaku di Bidor di bawah daerah Batang Padang, jadi mungkin mereka berada di daerah Kinta, Kuala Kangsar atau Taiping,” ujar beliau.
Media pada 1 Februari lalu melaporkan, seramai 131 warga asing melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan tersebut merangkumi 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Bagaimanapun, hanya 101 tahanan berjaya ditahan semula manakala dua daripada tahanan berkenaan maut selepas dilanggar kenderaan ketika cuba melarikan diri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 16 Februari lalu dilaporkan berkata, pencarian saki-baki PATI yang lolos kini dibuat berdasarkan laporan orang awam.
Jelasnya, ini kerana operasi pencarian di dalam hutan serta sekatan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen telah dihentikan. – KOSMO! ONLINE