LONDON – Selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin, Arsenal kini mengalihkan perhatian mereka kepada pertemuan getir menentang Porto untuk timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara di Stadium Emirates awal pagi esok.
The Gunners kini membawa bekalan keyakinan terbaik sebagai pendahulu EPL, sekali gus berhasrat untuk menamatkan kemarau panjang gagal layak ke peringkat suku akhir untuk saingan berprestij Eropah itu sejak 2010.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta sedar apa perlu dilakukan mereka untuk menembusi benteng pertahanan lawan yang lebih mengamalkan taktik permainan kasar ketika menang 1-0 ke atas pasukannya sewaktu aksi pertama pusingan 16 di Estadio Dragao dua minggu lalu.
Dalam masa sama, Arteta juga mengharapkan sokongan padu daripada penyokong-penyokong setia pasukannya bagi memastikan mereka dapat mengubah agregat perlawanan dan mara ke suku akhir selepas ini.
“Stadium ini akan mempunyai tenaga yang belum pernah anda lihat seumur hidup anda kerana kami sudah 14 tahun tidak melakukannya.
“Bawa tenaga anda ke dalam stadium dan sesuatu yang indah akan berlaku,” kata Arteta.
Sementara itu, Arteta turut memberikan nasihat kepada para pemainnya agar meningkatkan prestasi, kekal fokus dan konsisten semasa perlawanan menentang jaguh Portugal itu yang sebelum ini meraih gol tunggal menerusi Galeno pada minit ke-90+4.
“Hanya bermain setiap perlawanan sebagaimana kita lakukan, menganalisis permainan dan cuba menjadikannya lebih baik,” tambah Arteta. – AGENSI