KUALA LUMPUR – Subsidi ubat-ubatan kepada pesakit yang menerima rawatan di semua fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) masih dikekalkan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan sebarang peningkatan kos ubat.
Menurutnya, bagi pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan swasta pula, KKM menyediakan harga panduan bagi membantu rakyat mendapatkan maklumat harga serta membuat perbandingan melalui www.pharmacy.gov.my.
“Selain itu, KKM juga meneliti inisiatif dan ketelusan harga ubat iaitu fasiliti kesihatan swasta yang dikenal pasti perlu memaparkan harga ubat seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 3 Oktober 2023.
“Inisiatif ini dapat meningkatkan akses rakyat yang lebih kompetitif harganya serta membolehkan rakyat mengetahui harga ubat perlu dibayar dan seterusnya membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) berhubung ramalan peningkatan harga ubat-ubatan serta produk farmaseutikal sekitar lima hingga 10 peratus yang bakal memberi tekanan kewangan kepada pesakit dan waris.
Lukanisman berkata, paparan harga ubat ini juga akan dikongsi dalam portal awam bagi memudahkan rakyat membuat perbandingan harga.
Katanya, dalam masa sama, ubat dan peranti perubatan juga adalah dikecualikan dalam Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE