SEREMBAN – Buat pertama kalinya sejak ditubuhkan pada tahun 1899, Sekolah Kebangsaan (SK) St. Paul di sini menerima kehadiran 10 murid perempuan tahun satu yang memulakan hari pertama persekolahan bagi sesi akademik 2024/25 hari ini.
Ia merupakan sejarah kerana sepanjang 125 tahun usianya, sekolah tersebut hanya terdiri daripada murida lelaki.
Pengerusi Lembaga Pengurus SK St. Paul, Dr. Mahadevan Deva Tata berkata, selepas diluluskan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan, pihak pengurusan telah membuat persiapan bagi menerima kehadiran 10 murid perintis itu sejak dua bulan lalu termasuk daripada segi pengasingan tandas.
Jelasnya lagi, langkah untuk menerima murid-murid perempuan selepas pihak sekolah melihat terdapat penurunan kemasukan murid baharu terutamanya tahun satu sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Sekeliling kawasan perumahan berdekatan sekolah ini juga merupakan kawasan perumahan yang lama dan kebanyakan penduduk adalah mereka yang berusia dan tiada anak kecil. Ini menambahkan lagi faktor untuk pihak sekolah membuka kemasukan murid perempuan.
“Jadi pada hari ini, kani menerima 10 pendaftaran pertama murid perempuan di sekolah ini dan kami sasarkan jumlah akan meningkat sehingga 20 orang pada sesi persekolahan baharu ini kerana ada yang sedang membuat permohonan berpindah ke sekolah ini dari sekolah asal.
“Kami ada juga menerima permohonan untuk kemasukan ke tahun dua dan tiga namun sebagai permulaan, kami hanya menerima murid tahun satu sahaja,” katanya ketika ditemui. hari ini,
Sementara itu, Guru Besar SK. St Paul, E. Margerat berkata, dengan perubahan yang dibuat, pihak sekolah harapkan kemenjadian murid akan dapat terus terhasil di masa akan datang.
“Perubahan yang dibuat ini juga (menerima kemasukan murid perempuan) selepas 125 tahun, turut mendapat sokongan daripada ibu bapa serta Lembaga Pengurus dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya lagi.
Dalam pada itu, seorang murid tahun satu, Hanis Shed Redzuan Mohd. Shed 7, berkata, dia sangat teruja untuk datang ke sekolah hari ini sebab dapat berkenalan dengan kawan baharu.
“Pagi tadi saya bangun pukul 7 pagi dan bersarapan dahulu sebelum ke sekolah. Ayah yang hantar ke sekolah hari ini bersama dua abang saya yang juga bersekolah di sini,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor. – KOSMO! ONLINE