KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM195 juta melalui Kempen Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kutipan itu termasuk zakat harta, zakat fitrah dan wakaf tunai yang dibuat sepanjang bulan Ramadan.
“Daripada keseluruhan RM195 juta, zakat harta sasarannya RM178 juta, zakat fitrah (RM15 juta) manakala wakaf tunai sebanyak RM2.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Kempen Ramadan 2024 di Wisma PPZ-MAIWP, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, kempen dengan tema ‘Nikmat Memberi’ itu bertujuan untuk menggalakkan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan ibadah zakat dan berwakaf di bulan Ramadan.
“Bagi mengimarahkan lagi kempen ini, pelbagai program dan aktiviti menarik turut disediakan sepanjang Ramadan antaranya seperti aktiviti turun padang, Program Let’s Ngaji dan 1 Hari 1 Doa bersama penceramah selebriti Ustaz Don Daniyal Biyajid serta Ramadan Rewards.
“PPZ-MAIWP turut menyediakan ruang niaga kepada usahawan asnaf melalui program Booth Asnaf Preneur yang akan dibuka di kaunter terpilih,” ujarnya.
Justeru, tambah Abdul Hakim, orang ramai dijemput untuk mengikuti laman Facebook, Instagram, serta TikTok rasmi PPZ-MAIWP bagi mengikuti perkembangan terkini. – KOSMO! ONLINE