fbpx

Pan-gon enggan janji bulan bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON (dua dari kanan) berharap dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata daripada dua aksi menentang Oman bulan ini.

SATU mata menjadi sasaran paling rea­listik buat Harimau Malaya pada pertemuan dengan Oman di pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac ini.

Walaupun Kim Pan-gon dilabel sebagai jurulatih yang mempunyai magis untuk mengejutkan pasukan ranking lebih tinggi, namun pengendali dari Korea Selatan itu menjadikan kempen Piala Asia baru-baru ini sebagai pengajaran terbaik.

“Barisan kejurulatihan akan cuba sehabis baik untuk me­rangka pelan buat pasukan. Kami tidak tahu sama ada ia akan berhasil ataupun tidak, namun kami akan mencuba.

“Kami akan memberikan sesuatu yang positif kepada rakyat Malaysia. Kalau kami mahu layak ke pusi­ngan seterusnya, saya fikir kami perlu dapatkan satu mata dan saya harap kami mampu lakukannya,” kata Pan-gon.

Dalam saingan Piala Asia sebelum ini, Pan-gon berjaya mengembalikan kegembiraan peminat apabila memacu Harimau Malaya mengikat gergasi dunia, Korea Selatan 3-3.

Dalam masa sama, Pan-gon memahami kehendak penyokong yang mahukan Harimau Malaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D dan mencipta satu lagi sejarah baharu muncul 18 pasukan terbaik Asia layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Bagaimanapun, Pan-gon meminta penyokong supaya lebih memahami situasi pasukan ke­rana pemain-pemainnya tidak memiliki kecergasan 100 peratus disebabkan saingan Liga Malaysia (Liga M) hanya akan bermula Mei ini.

“Bola sepak mampu beri sesuatu kepada sesebuah negara dan saya begitu bangga dengan pemain. Mereka sudah mencipta memori manis kepada peminat, namun semua orang perlu faham situasi pasukan.

“Kami akan mencuba sehabis baik walaupun tidak pasti sama ada mampu berikan keputusan yang diharapkan ataupun tidak. Sikap pemain adalah terus berjuang, gembira sama-sama dan kecewa pun bersama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI