KOTA BHARU – Pemakaian aksesori seperti gelang dan cincin merupakan kesalahan yang paling banyak dilakukan peniaga bazar Ramadan di negeri ini pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kesalahan itu bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Menurut beliau, pemakaian tidak tepat turut menjadi kesalahan yang menyebabkan peniaga makanan berdepan dengan tindakan undang-undang.
“JKNK mengeluarkan 216 notis kepada pengendali makanan di bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan tahun lalu. Pengendali makanan di bazar Ramadan kebiasaannya melakukan kesalahan seperti tidak memakai apron, kasut dan penggunaan aksesori.
“Selain itu, kita turut memantau kebersihan premis. Sebanyak 3,565 premis diperiksa pada tahun lalu dan tahap kebersihannya mencecah 96.2 peratus,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Korporat (CSR) Bubur Lambuk Semarak Ramadan 2024 di sini hari ini.
Zaini memberitahu, sebanyak 46 pasukan diwujudkan bagi menjalankan penguatkuasaan di bazar Ramadan di seluruh Kelantan melibatkan 180 penolong pegawai kesihatan persekitaran dan pembantu kesihatan awam.
Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 69 tapak bazar Ramadan di Kelantan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tahun ini.
“Kesemua bazar Ramadan itu melibatkan 3,824 petak perniagaan. JKNK akan memastikan tanggungjawab peniaga untuk menjual makanan yang selamat dan bersih kepada pelanggan.
“Selain itu, kita juga akan melakukan pemantauan agar tidak berlaku pencemaran makanan sekali gus mengelak berlakunya kes keracunan makanan sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE