BANGKOK – Penduduk sebuah daerah di wilayah Samut Prakan gempar apabila menemui objek disangka tangan manusia terapung di sebuah terusan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Polis dan pasukan penyelamat dikerah ke lokasi kejadian pukul 5.30 petang (waktu tempatan) kelmarin selepas menerima laporan penduduk setempat.
Pasukan penyelamat yang tiba bergegas mendapatkan tangan tersebut sambil disaksikan oleh orang ramai.
Penemuan menggemparkan itu bagaimanapun bertukar lucu apabila polis mendapati ia bukan tangan manusia, sebaliknya sarung tangan getah yang telah dibuang.
Anggota peronda dari Balai Polis Samut Prakan, Nitnai Sophap berkata, dia tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas menerima aduan penduduk.
Selepas memeriksa objek berkenaan menggunakan kayu, dia mendapati bahawa ia hanya sarung tangan getah, dan bukannya tangan manusia.
Pengesahan tersebut memberi kelegaan kepada pegawai bertugas dan orang ramai yang sebelum itu resah melihat objek berkenaan. – AGENSI