SEREMBAN – Dua pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diberi tanggungjawab menjadi imam solat tarawih di Osaka, Jepun sepanjang Ramadan ini.
Wan Ahmad Mujahid Wan Fajrulhisyam dan Nik Ahmad Nik Aziz yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian menjalani latihan industri di Japan Dakwah Centre (JDC).
Mereka berlepas ke Jepun semalam untuk menjadi imam jemputan bagi solat tarawih di dua tempat secara penggiliran iaitu di JDC dan Osaka Islamic Centre.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, beliau amat berbangga kerana penuntut USIM dipilih untuk mengetuai solat tarawih di negara matahari terbit itu.
“Ia menunjukkan bahawa USIM mampu melahirkan pelajar berkelayakan dalam bidang pengajian Islam yang bertaraf antarabangsa sesuai dengan falsafah USIM yang mengamalkan integrasi ilmu naqli dan aqli,” katanya.
Kedua-dua mereka akan berada di Osaka selama 40 hari dan dijangka kembali ke Malaysia pada 20 April ini untuk menghabiskan latihan industri di Pusat Islam USIM.-KOSMO! ONLINE