JAKARTA – Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Pulau Sumatera meningkat kepada 26 orang, kata seorang pegawai semalam, manakala sekurang-kurangnya 11 mangsa lain masih hilang.
Hujan lebat pada Khamis lalu mencetuskan bencana di wilayah Sumatera Barat, di mana air beberapa batang sungai melimpah dan tanah runtuh menimbus rumah penduduk.
“11 orang masih hilang dan 26 lagi ditemui mati,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan hari ini.
Di daerah Pesisir Selatan, seramai 23 orang ditemui mati dan enam masih hilang, demikian menurut pegawai BNPB Sumatera Barat, Fajar Sukma.
Tiga mangsa lain ditemui mati di daerah Padang Pariaman yang turut mengalami kerosakan teruk.
Usaha menyelamat pula terhalang oleh cuaca ekstrem, kata Sukma.
“Hari ini masih hujan, namun anggota-anggota penyelamat meneruskan operasi menyelamat.
“Ada kemungkinan jumlah korban akan terus meningkat ketika kami mengemas kini laporan bencana,” katanya.
Sukma berkata bahawa setakat semalam, pasukan penyelamat berjaya membuka akses ke kawasan paling teruk terjejas dan mengagihkan bantuan kepada mangsa bencana termasuk khemah, ubat-ubatan dan makanan segera.
Bencana itu mengakibatkan beratus-ratus rumah, jambatan, masjid, dan kemudahan awam rosak.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan dan masalah itu menjadi lebih buruk di beberapa tempat akibat penebangan hutan dan hujan lebat berpanjangan.
Tanah runtuh dan banjir pada Disember tahun lalu menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan memusnahkan sebuah hotel berhampiran Tasik Toba di Sumatera serta mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang. – AFP