GEORGE TOWN – Tahap kesihatan 175,526 pekerja di negara ini yang berusia 40 tahun ke atas berada dalam keadaan membimbangkan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, ini berdasarkan hasil saringan kesihatan yang dilakukan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 2023 hingga 29 Februari lalu.
Menurutnya, dapatan saringan kesihatan yang dijalankan mendapati 59.59 peratus memiliki kolestrol tinggi, manakala 23.52 peratus bergelut dengan isu berat badan berlebihan atau obesiti.
“Selain itu, sebanyak 20.45 peratus pekerja pula berdepan darah tinggi (hypertension) serta 19.91 peratus pekerja menghidap penyakit kencing manis (diabetes).
“Gaya hidup tidak sihat termasuk pengambilan gula berlebihan telah menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Antara 2020 hingga tahun lalu, kita dapati perbelanjaan Perkeso bagi menampung kos rawatan pencarum yang menghidap penyakit turut meningkat RM20 juta hingga RM30 juta setahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pekerja Sihat dan Selamat di Jabil Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu, Steven melancarkan Kempen Tolak Gula bagi menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan pekerja di negara ini.- KOSMO! ONLINE