MUNICH – Penggempur England, Harry Kane mencatat hatrik bersejarah ketika membantu Bayern Munich membelasah Mainz 8-1 dalam aksi Bundesliga di Allianz Arena malam kelmarin.
Kemenangan itu menyaksikan Bayern kekal di tempat kedua dan hanya ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Bayer Leverkusen yang masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Dalam aksi itu, Kane menjadi pemain pertama yang mencetak empat hatrik dalam musim pertamanya di pentas Bundesliga selain turut merakam 30 gol liga sepanjang musim ini, sekali gus menyamai rekod legenda Jerman, Uwe Seeler buat Hamburg pada 1963/64.
Bekas penyerang Tottenham Hotspur itu juga menjadi pemain pertama yang menjaring sekurang-kurangnya dua gol dalam lapan perlawanan berbeza.
Ia juga kemenangan kedua terbesar Bayern musim ini selepas membelasah Darmstadt 8-0 pada Oktober lalu.
“Ia satu kemenangan yang meyakinkan. Jujur kami merindui saat-saat seperti ini. Sekarang kami perlu pastikan pasukan dapat mengekalkan momentum sama untuk baki saingan musim ini,” kata pemain tengah Bayern, Leon Goretzka.
Selain tiga gol Kane, Goretzka turut berjaya meledak dua jaringan buat Bayern selain masing-masing satu daripada Thomas Muller, Jamal Musiala dan Serge Gnabry, manakala gol tunggal Mainz dihasilkan oleh Nadiem Amiri. – AGENSI