fbpx

Jangan menunjuk bila beribadat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SELURUH umat Islam pasti sedang melalui keterujaan menyambut Ramadan bagi tahun ini.

Penulis yakin pasti ada yang sudah merencana menu sahur pertama dan berbuka untuk diri serta keluarga tersayang.

Dalam keghairahan menyambut Ramadan, pasti ramai yang ingin berkongsi momen indah masing-masing untuk tatapan penghuni media sosial.

‘Done berbuka, tarawih’, mungkin kembali sohor kini (trending), memenuhi media sosial masing-masing seperti tahun-tahun sebelumnya.

Tiada salahnya berkongsi, namun berhati-hati dan ambil iktibar daripada ‘kekecohan’ melibatkan seorang influencer yang dikecam hebat selepas berkongsi kandungan ketika menunaikan umrah baru-baru ini.

Bimbang ibadah yang sepatutnya menuai pahala, menjadi sebaliknya atas tingkah laku yang tidak dipertimbang sebaiknya terlebih dahulu.

Pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim menegaskan, jauhi perkongsian di media sosial yang mengundang fitnah dan bertujuan meraih populariti.

Jika tidak, Mohd. Izhar berkata, ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri, agama, bangsa dan undang-undang.

“Oleh kerana itu kita kena hati-hati. Gunakan laman sosial ke jalan yang betul untuk berdakwah.

“Jangan jadikan kandungan semata-mata sebab khuatir ia menjurus kepada perkara-perkara yang dilarang Islam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, haram hukumnya jika perkongsian yang dibuat bertujuan untuk meraih pujian sehingga mencetuskan perasaan takbur.

“Kalau niat nak menunjuk, harap orang puji soleh atau solehah, ia dah berubah kepada takbur. Bila takbur hukumnya haramlah, tak dapat pahala.

“Nak galakkan orang lain beribadah tak semestinya kena buat perkara yang boleh hilangkan pahala sampai muat naik segala ibadat seperti tahajud is done, puasa is done atau al-Quran is done,” jelasnya.

Namun, katanya, jika perkongsian dibuat diniatkan untuk menggalakkan orang lain melakukan perkara serupa, ia dibenarkan.

“Dalam isu ini bergantung niat seseorang. Kalau untuk galakkan orang lain beribadah, manfaatkan Ramadan, itu termasuk dalam dakwah yang digalakkan maka hukumnya dibenarkan.

“Kalau kita nak gunakan laman sosial untuk menyeru kebaikan, maka kena tahu adab-adab dan tata susila berdakwah di media sosial ni,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI