fbpx

IJN rayu rakyat Malaysia derma organ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham (lima dari kiri) bergambar bersama penerima jantung berusia 20 tahun, Daniel Kang Yu Xin (empat dari kiri) ketika ditemui di sidang akhbar kejayaan dua pemindahan jantung bertempat di IJN, di sini hari ini. FOTO oleh AMARULLAH ZAINUZZAMAN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 382,020 rakyat Malaysia telah berikrar untuk menderma organ sejak tahun 1997, bagaimanapun hanya 0.02 peratus sahaja daripada jumlah tersebut berakhir dengan pendermaan.

Menurut Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku, perlu ada kerjasama padu antara semua pihak untuk memastikan kejayaan pemindahan organ.

Beliau berkata, perubahan terutamanya dari segi dasar perlu dilakukan untuk menggalakkan pendermaan organ dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Salah satu opsyen yang kita boleh lakukan adalah dengan meminta rakyat Malaysia menarik diri atau ‘opt out’ daripada menjadi penderma berbanding meminta rakyat daripada mendaftar secara sukarela.

“Jika kita tidak mampu meningkatkan jumlah pendermaan organ, bagaimana kita hendak menjalankan pemindahan? Sedangkan, ramai rakyat Malaysia yang sangat mengharapkan organ,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar kejayaan dua pemindahan jantung bertempat di IJN, di sini hari ini.

Menurut beliau, Malaysia perlu mencontohi negara Islam, Turkiye yang berjaya melaksanakan sebanyak 768 pendermaan organ di 15 pusat jantung di negara mereka dari tahun 2008 hingga 2020.

“Di sana, pengurusan sangat baik. Malah, ramai pakar dari negara kita dihantar ke sana untuk belajar lebih lanjut.

“Bagaimanapun, stigma masih ada dalam kalangan rakyat di negara ini, bukan hanya pada pemindahan jantung, tetapi juga organ-organ lain seperti buah pinggang, pankreas dan sebagainya.

“Rugi kalau kita ada kepakaran, namun tidak ada organ kita diterima. Walaupun ada yang sudah berikrar, namun apabila telah sampai masanya, keluarga tidak memberi kebenaran,” katanya.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih Kementerian Kesihatan (KKM) atas sokongan terhadap Program Jantung, Paru-paru dan Jantung Mekanikal IJN.

“Setakat ini, sokongan dan sumbangan kewangan daripada kerajaan untuk program ini telah memberi manfaat kepada 77 pesakit.

“Kami berharap kerjasama ini berkekalan agar lebih ramai pesakit mendapat peluang kedua untuk meneruskan hidup menerusi pemindahan organ,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI