LONDON – Kata-kata azimat ketika masa rehat menjadi faktor utama kebangkitan dramatik Arsenal mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Kejayaan itu turut menyerlahkan semangat setia kawan di kalangan pemain The Gunners selepas penjaga golnya, Aaron Ramsdale melakukan kesilapan sehingga ‘menghadiahkan’ gol percuma buat Brentford.
Wira kemenangan Arsenal, Kai Havertz mengakui bahawa perbincangan pasukan pada rehat separuh masa lebih menjurus kepada cara untuk segera melupakan insiden membabitkan Ramsdale.
“Bukan sesuatu yang bagus apabila kami melepaskan gol di hujung babak pertama. Kami bercakap antara satu sama lain bagi memastikan seluruh pasukan kekal bersatu, namun kesilapan adalah sebahagian daripada permainan bola sepak.
“Saya juga melakukan beberapa kesilapan yang berisiko, namun akhirnya mentaliti kami cukup bagus. Ia menjadi kemenangan penting buat kami kerana kami begitu terdesak untuk dapatkan tiga mata.
“Kamu boleh lihat sendiri persembahan kami di babak kedua yang dilihat lebih baik berbanding separuh masa pertama,” katanya.
Bintang dari Jerman itu mula menyerlahkan kualiti sebenar apabila berjaya menjaringkan empat gol dalam empat aksi terakhir EPL, sekali gus menjadi tonik tambahan sebelum bertemu Porto untuk timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara pada Rabu ini.
Kemenangan itu juga membolehkan pengurus Arsenal, Mikel Arteta kekal memberikan tekanan hebat kepada Liverpool dan Manchester City.
“Sukar untuk saya mempercayainya, namun inilah yang dilalui pemain yang hebat seperti Havertz. Dia bekerja keras untuk pasukan dan sesuatu yang mustahil untuk tidak menyayanginya,” kata Arteta.
Arsenal membuka tirai jaringan melalui Declan Rice, tetapi Yoanne Wissa berjaya menyamakan kedudukan buat Brentford disebabkan kesilapan Ramsdale sebelum Havertz memastikan kemenangan mutlak buat The Gunners. – AGENSI