fbpx

GRIP Kota Puteri jana sehingga 6,000 peluang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sze Han (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran fasa pertama GRIP Kota Puteri, Rawang di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Projek Taman Industri Hijau (GRIP) Kota Puteri, yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Rawang, berkonsepkan ‘Managed Industrial Park’ (MIP) yang dilancarkan Julai lalu bakal menjana 3,000 hingga 6,000 peluang pekerjaan.

Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, selain merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan terbabit, kewujudan kilang dan industri diharap mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan pada masa depan.

“Kewujudan GRIP di Kota Puteri sudah pasti meningkatkan peluang pekerjaan untuk penduduk di kawasan tersebut, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di Kota Puteri dan di Selangor amnya.

“Pada masa ini, PKNS telah berjaya menarik minat kira-kira 50 bakal pembeli berpotensi yang berminat membeli lot industri di kawasan berkenaan,” katanya selepas melancarkan fasa pertama GRIP Kota Puteri di sini, hari ini.

Sze Han berkata, seiring dengan perkembangan positif tersebut, beliau menyeru pemain industri untuk membeli 13 lot industri GRIP Kota Puteri PKNS bagi fasa pertama yang mengandungi komponen pembangunan berkeluasan dari 1.5 hektar hingga 2.4 hektar setiap lot.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, taman perindustrian berpusat dan berpagar itu adalah salah satu inisiatif strategik pihaknya melibatkan keseluruhan kawasan seluas 152 hektar dengan anggaran nilai kasar pembangunan RM2 bilion.

“Dengan status MIP yang telah mendapat perakuan daripada pihak berkuasa negeri ini, pelbagai insentif dapat dimanfaatkan oleh para pengilang untuk menjadi lebih kompetitif dan ‘hijau’.

“Tambahan pula, pembangunan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri Selangor di dalam dasar Rancangan Selangor 1 (RS1) yang mementingkan keseimbangan pembangunan fizikal yang lestari,” katanya.

Menurutnya, pelan cadangan pembangunan GRIP Kota Puteri dirancang dalam tiga fasa, yang mana kerja-kerja pembangunan fasa pertama membabitkan 13 lot industri eksklusif yang dilancarkan hari ini akan bermula pada Mei depan dan dijangka siap pada 2027. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI