fbpx

Edar 10kg dadah, dua rakan kekal dijel 30 tahun, 15 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Dua rakan kekal dihukum penjara 30 tahun dan 15 sebatan atas kesalahan mengedar hampir 10 kilogram (kg) dadah dalam sebuah kereta lima tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed selepas menolak rayuan Mohd. Khairul Azwan Zakaria, 37, dan Bhahira Fakri, 43, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Pada 16 Februari 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap perayu selepas didapati bersalah atas kesalahan tersebut.

Dalam penghakimannya, Hakim Hadhariah berkata kegagalan memanggil pemilik kereta (Honda Accord) untuk memberi keterangan tidak mewujudkan lompang dalam kes pendakwaan kerana asid deoksiribonuklekik (DNA) dua perayu itu ada pada kain mereka di dalam but kereta berkenaan.

“Ini bermakna, perayu-perayu ada akses pada kereta itu dan dadah juga tidak tersembunyi, lebih-lebih lagi perayu-perayu telah melarikan diri semasa ingin ditangkap polis.

“Mengikut gambar pada rakaman televisyen litar tertutup, kereta itu digunakan perayu selama dua hari. Oleh itu, kegagalan memanggil pemilik kereta tidak boleh membangkitkan inferens bertentangan terhadap kes pendakwaan,” katanya. Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Noorin Badaruddin.

Sementara itu, berhubung isu terputusnya rantaian keterangan, Hakim Hadhariah berkata, mahkamah berpendapat tidak nampak terputusnya rantaian keterangan kerana barang-barang kes telah dibuat ‘marking’ dan tidak ada pertikaian mengenai perkara tersebut.

“Oleh itu, sabitan adalah selamat, rayuan perayu-perayu ditolak manakala sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata hakim itu.

Semasa prosiding, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Mohd. Khairul Azwan, manakala Muhammad Hafizuddin Salehuddin pula mewakili Bhahira

Pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fuad Abdul Aziz serta Ng Siew Wee.

Dua lelaki itu didakwa mengedar 9573.1 gram (9.5 kg) heroin dan 115.5 gram (0.1 kg) Monoacetylmorphine di dalam kereta Honda Accord di kawasan parkir hadapan sebuah kedai makan di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pukul 11.40 pagi pada 20 Jun 2019.

Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati dia hendaklah disebat tidak kurang 15 kali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI