LIVERPOOL – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mempunyai alasan lebih istimewa untuk memastikan kemenangan ke atas Liverpool pada aksi ke-28 Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam ini.
Selain mahu memintas kedudukan The Reds di puncak liga, kemenangan The Citizens juga akan menutup cerita istimewa buat Guardiola memandangkan ia akan menjadi perhitungan terakhir dengan rakan sejawatnya, Jurgen Klopp dalam saingan EPL.
Bagaimanapun, Guardiola percaya perhitungan kali ini bukan aksi terakhirnya bertemu Klopp kerana percaya City mungkin akan bertemu lagi dengan Liverpool dalam pertandingan lain.
“Saya menghormati keputusannya. Saya ada bercakap dengan Klopp dan perasaan saya mengatakan dia akan kembali lagi kerana dia begitu menyukai bola sepak dan semua itu sudah menjelaskan segala-galanya.
“Dalam aksi EPL, ini adalah (perhitungan) terakhir kami, tetapi kami mungkin akan bertemu lagi dalam Piala FA. Dia (Klopp) masih muda, begitu juga saya dan sudah pasti perlawanan ini akan jadi sesuatu yang menyeronokkan,” katanya.
Sejak melatih pasukan, kedua-dua pengurus itu saling bersaing hebat, namun Klopp sudah menyatakan hasratnya mahu meninggalkan Liverpool sejurus tamat musim ini.
Bagaimanapun, Guardiola menjelaskan Liverpool adalah lawan terkuat pernah dihadapinya dan mengakui banyak belajar daripada kerja keras yang telah dilakukan oleh Klopp.
“Itulah cara Liverpool bermain. Dia (Klopp) tidak beraksi, tetapi kamu akan sentiasa belajar daripada cara pasukannya bermain. Anfield akan sentiasa menghadirkan tugasan sukar terutamanya dengan kualiti barisan pemain mereka ada.
“Sudah pasti penyokong juga menambahkan kesukaran. Saya fikir ia sesuatu yang cukup bagus dan kami terima cabaran kali ini.
Malah, pengurus dari Sepanyol itu merasakan Klopp sudah pun meninggalkan legasi hebat yang hanya perlu diteruskan oleh pengurus baharu.
“Saya menyukainya (ketiadaan Klopp), tetapi saya tidak fikir ia akan menjadi mudah. Liverpool akan terus kekal sebagai pencabar utama kejuaraan.
“Saya tidak tahu mengenai keputusan yang mereka akan buat (pemilihan pengurus baharu), namun mereka sudah pun muncul sebagai salah satu pencabar, begitu juga dengan Arsenal,” jelasnya. – AGENSI