PETALING JAYA – Nestle Malaysia telah memulakan operasi Loji Janakuasa Biojisim bagi memenuhi keperluan Kilang Chembong di Rembau, Negeri Sembilan sebagai usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon serta untuk memenuhi komitmennya kepada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Loji Janakuasa Biojisim ini telah memulakan operasi pada akhir 2023 di Kilang Chembong.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols berkata, pihaknya berbangga untuk meraikan perjalanan luar biasa Kilang Chembong yang kini menjangkau 30 tahun dengan satu pelaburan penting ke arah kelestarian alam sekitar.
“Sebagai sebuah pengilang yang bertanggungjawab, inisiatif ini membolehkan kami mencapai kemajuan besar dalam memenuhi sasaran alam sekitar kami, iaitu dengan mengurangkan jejak karbon, di samping membolehkan kami membawa kesan positif kepada masyarakat Chembong dan menunaikan komitmen kami kepada alam sekitar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Menurut Aranols, dengan pemasangan Loji Janakuasa Biojisim dan penggunaan bekalan tenaga elektrik boleh diperbaharui, MILO kini mengambil langkah ke arah masa hadapan yang lebih lestari.
“MILO terkenal dengan warna hijau dan kami ingin menjadikan MILO lebih hijau lagi demi bumi dan seluruh rakyat Malaysia, dengan penggunaan teknologi lebih bersih, yang terus menyokong langkah kami untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan pada 2022,” jelas beliau.
Loji Janakuasa Biojisim ini menggunakan Tandan Buah Sawit Kosong (EFB) dan tempurung isirung sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, bahan tersebut menggantikan bahan api fosil untuk menjana stim yang digunakan untuk proses pemanasan dalam operasi pengeluaran.
Pendekatan ini adalah sebahagian daripada kitaran karbon semula jadi dan tidak menghasilkan emisi karbon jangka panjang, menjadikannya neutral karbon.
Usaha inovatif ini seterusnya dapat mengurangkan emisi karbon dioksida (CO 2 ) bersih dengan ketara berbanding bahan api fosil dan juga membantu mengurangkan gas rumah hijau.
Kemudahan ini diunjurkan mengurangkan emisi gas rumah hijau kilang dengan ketara iaitu sejumlah 14,000 tan CO 2e setara setahun dan secara langsung dapat mengurangkan pencemaran, bahan buangan ke kambusan tanah dan melindungi sumber semula jadi yang berharga.
Nestlé telah berkerjasama dengan rakan teknologi ENCO Systems Sdn Bhd untuk membangun dan memasang loji yang serba lengkap tersebut, yang bernilai RM18 juta.
Diasaskan pada 1993 dan diperbesar pada 2019 untuk memenuhi permintaan tempatan dan serantau, Kilang Chembong adalah kilang Milo terbesar Nestlé di dunia.
Dalam tempoh tiga dekad lepas, kilang ini telah mencipta peluang pekerjaan dan ekonomi serta menyumbang kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Berbekalkan 100 peratus tenaga kerja Malaysia, kilang ini merupakan pengeluar penting bagi jenama-jenama lain seperti Kit Kat, Aiskrim Nestle dan produk bijiran sarapan Koko Krunch.
Kesemua produk bersijil halal dan dibuat di Malaysia untuk penggunaan tempatan dan global, dengan eksport ke lebih daripada 20 negara di seluruh dunia. -KOSMO! ONLINE