fbpx

Kutipan zakat Melaka cecah RM128 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. RAUF (dua dari kiri) pada Program Ihya Ramadan di MITC Melaka, hari ini.

MELAKA – Kutipan zakat di Melaka tahun lalu mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila mencapai sasaran ditetapkan berjumlah RM128.3 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jumlah itu termasuk kutipan zakat fitrah berjumlah RM5.75 juta berbanding 2022 iaitu sebanyak RM5.6 juta.

Menurutnya, Pusat Zakat Melaka menyasarkan RM5.9 juta kutipan zakat fitrah tahun ini.

“Saya percaya dengan kesungguhan para amil yang dilantik serta kerjasama daripada semua pihak dengan mempelbagaikan kaedah dan medium pembayaran zakat fitrah, ia dapat mempermudahkan lagi urusan atau proses pembayaran zakat.

“Insya-Allah, Zakat Melaka pasti akan mencatatkan prestasi kutipan zakat fitrah yang cemerlang lagi bagi 2024 ini,” katanya ketika berucap melancarkan Program Ihya Ramadan peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri akan menganjurkan Bulan Pelancongan Islam sepanjang Ramadan ini bertemakan ‘Dari Hati Membawa Ke Syurga’.

Menurutnya, penganjuran itu bagi memeriahkan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 dengan kira-kira 400 acara bakal dilaksanakan di surau dan masjid seluruh negeri ini.

“Antara lokasi menjadi tumpuan di Pavilion Dataran Pahlawan dan beberapa lokasi terpilih seperti Seminar Rukyah dan Hisab, Malam Semarak Haruman Ramadan, Jom Rewang Bubur Lambuk dan banyak lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI